Tuesday, July 19, 2011

Biografi Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan: 1408-1426H / 1987-2005M


Penulis: Zulkiple Abd. Ghani, Muhamad Arifin, Mohamed Asin Dollah, W. Mohd Azam Mohd Amin, Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid, Muhd Yusof Ibrahim, Ali Yakub Matondang, Haji Elias Zakaria, Ab Aziz Mohd Zin, Norrodzoh @ Norraudah Hj. Siren, Norhayati Haji Hamzah, Siti Fatimah Abdul Rahman, Wan Ali Wan Jusoh, Abd. Samat Musa, Abdul Halim El-Muhammady, Marzuki Haji Mahmood, Abdullah @ Alwi Haji Hassan dan Mohd Nasir Omar (tidak dikreditkan pada kulit hadapan)
Penerbit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Tahun: 2006
Halaman: 559
Harga: Tidak dinyatakan pada kulit (mendapat naskhah hadiah)
Genre: Bukan fiksyen, biografi
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Umat Islam khususnya di Malaysia ingin mengetahui maklumat terperinci tentang Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan, sumbangan dan pengorbanan mereka sehingga mereka dipilih oleh Kerajaan Malaysia.

Sudah sampai masanya ketokohan mereka ini didokumenkan sebagai rujukan kepada dunia terutama umat Islam.

1408-1426H / 1987-2005M:
Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-MarbawiProf. Tan Sri Datuk Ahmad bin Mohamed IbrahimTan Sri Dato' S.O.K. Ubaidulla bin Kadir BashaTan Sri Prof. Dr. Ahmad Muhammad Abd Al-Ra'ufTan Sri Dato' Mohd Asri bin Haji MudaRaja Tun Mohar bin Raja BadiozamanHaji Munawir SjadzaliTun Dato' Seri (Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Mohammad Tahir JalaluddinProf. Di Raja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul HamidTan Sri Dato' Seri (Dr.) Ahmad Sarji bin Abdul HamidTan Sri Ainuddin bin Abdul WahidDatuk Dr. Ismail bin IbrahimDato' Haji Hassan bin AzhariDato' Mursyid Di Raja Dato' Paduka Syeikh Abdul Majid bin Muhammad NoorDato' Dr. Abdul Halim bin Haji IsmailDr. Muhammad Uthman El-Muhammady

Ulasan:

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia kerana mengambil inisiatif mendokumenkan biografi kesemua 16 Tokoh Ma'al Hijrah sebagai satu bahan rujukan di dalam satu buku. Ini merupakan satu usaha yang harus dipuji kerana saya pasti ramai di kalangan generasi Muslim di negara kita hari ini yang tidak mengetahui dan tidak mengenali tentang tokoh-tokoh ini yang seharusnya menjadi ikon generasi Muslim hari ini.

Kesemua tokoh yang dipilih oleh Kerajaan Malaysia untuk menerima anugerah dan pengiktirafan tertinggi bagi umat Islam ini sememangnya telah memberikan sumbangan bakti yang begitu besar kepada umat Islam dan agama Islam itu sendiri sama ada disedari atau tidak oleh masyarakat di negara ini. Maka, penerbitan Biografi Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan: 1408-1426H / 1987-2005M ini mampu mewujudkan sedikit sebanyak kesedaran tentang tokoh-tokoh yang berjasa ini.

Melihat kepada nama-nama tokoh yang tersenarai, secara peribadi saya mengenali dengan dekat tiga orang daripadanya dan pernah bertemu kerana tugas dengan tiga yang lain. Apabila membaca biografi mereka ini, sememangnya wujud ketepatan dari segi maklumat yang disampaikan. Saya kira penulis-penulis yang dipilih memang tepat dengan setiap tokoh yang ada.

Namun demikian, ada satu perkara yang saya lihat sebagai kelemahan yang boleh diperbaiki. Pertama, disebabkan terdapat begitu ramai penulis, maka kualiti penulisan tidak konsisten. Ada penulisan yang berupa seperti kertas kerja ilmiah, ada yang berupa seperti penceritaan, ada pula yang tidak ubah seperti esei dan ada juga yang terasa seperti membaca makalah di dalam majalah. Justeru, saya kira peranan penyunting amat penting di sini untuk mewujudkan ketekalan atau konsistensi bagi buku rujukan penting seperti ini.

Sungguhpun demikian, ini hanyalah satu pemerhatian kecil sahaja. Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui mengenai Tokoh-tokoh Ma'al Hijrah, inilah bukunya.